Sunday, 22 May 2016

SYARIAH ATURAN DITETAPKAN AGAMA


Secara etimologi, syariah bererti aturan atau ketetapan yang Allah SWT perintahkan kepada hamba-Nya. Secara terminologi pula, syariah bermaksud penerapan seluruh aspek kehidupan, sesuai ajaran Islam yang berkait masalah ibadat umum dan khusus yang dinisbahkan kepada sumber hukum Islam. 

Mahmud Syaltut mendefinisikan syariah sebagai aturan ditetapkan Allah SWT, supaya manusia mengadaptasi aturan itu untuk mengatur hubungan diri dengan Tuhannya dan hubungan dirinya dengan saudaranya Muslim, bukan Islam serta hubungan dengan alam semesta.

Hal yang demikian dapatlah difahami apabila Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah SWT menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat saja, tetapi Allah SWT hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu." (Surah al-Maidah, ayat 48)

Oleh itu, syariah adalah satu cara hidup bagi umat Islam dan ia tidak hanya perlu diamalkan mengikut bahagian tertentu saja. Namun dalam pelaksanaan syariah, kita perlu teratur dalam melaksanakannya kerana khuatir ia akan mendatangkan fitnah terhadap pelaksanaan syariah kerana tidak dipandukan nas jelas.

Menelusuri sejarah, kita akan mendapati penjajahan terhadap masyarakat Islam memberi kesan besar dengan meminggirkan sistem kehakiman dan undang-undang syariah yang mana bidang kuasa syariah dihadkan kepada undang-undang diri serta beberapa aspek kecil sahaja.

Pembebasan penjajahan tidak secara automatik membebaskan umat Islam daripada belenggu penjajahan itu sendiri kerana benih penjajahan sudah bersemadi dalam jiwa umat Islam sepanjang tempoh dijajah.

Walaupun secara undang-undang negara sudah merdeka, namun pemikiran dan ketaatan kepada penjajah masih utuh dalam minda masyarakat. Hasilnya, kita dapati orang Islam sendiri menentang usaha mengarusperdanakan syariah.

Syariah tidak wajar diharmonikan dengan undang-undang lain tetapi undang-undang lain itulah yang perlu diasimilasikan supaya tidak tergelincir daripada landasan syariah. Tiada pilihan bagi umat Islam untuk memilih jalan selain daripada Islam kerana umat Islam tidak teruja dengan kehebatan kemampuan akal fikiran manusia.

Ini disebabkan betapa hebat manapun kemampuan akal fikiran manusia, ia masih lagi di bawah takluk dan kawalan Yang Maha Esa. Begitu juga kebejatan akhlak, sahsiah diri dan tatasusila dalam masyarakat adalah hasil pengasingan agama daripada kehidupan seharian. Jika benarlah nilai hidup Barat itu yang terbaik kenapa masyarakat Barat sendiri seolah-olah tercari-cari arah tujuan dan penanda aras bagi masyarakat mereka?


Malah pandangan sekularisme yang membantah pemerintah mengawal moral atau sahsiah diri menjadi pemangkin kepada kerosakan akhlak masyarakat kerana terlalu bebas melakukan tindakan yang mereka fikirkan baik tanpa sesuatu piawaian yang selaras. Masyarakat menjadi lunak mengenakan gaya hidup yang mereka dambakan tanpa mengambil kira kepentingan umum.

No comments:

Post a Comment