Thursday 21 December 2017

HULUR BANTUAN KEPADA SAUDARA LEBIH UTAMA


Membantu ibu bapa adalah menjadi keutamaan anak-anak sebelum sedekah itu dipanjangkan kepada orang lain mahupun institusi tertentu.

Sementara bersedekah kepada kaum kerabat atau ahli keluarga terdekat jatuh di tempat kedua dan diikuti dengan anak yatim.

Manakala seterusnya ialah orang miskin dan terakhir ialah bersedekah kepada mereka yang bermusafir.

Firman Allah dalam Surah al-Israk ayat 26: “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.”

Jelas, turutan keutamaan memberikan sedekah mahupun bantuan kepada kaum kerabat disebut dalam ayat ini.

Pun begitu, itu bukan bermaksud, tidak boleh bersedekah untuk masjid atau mana-mana institusi. Islam tidak pernah melarangnya, bahkan digalakan.

Cuma apa dijelaskan ialah keutamaan yang perlu diberikan perhatian agar kita tidak alpa dengan tanggungjawab terutama kepada keluarga dan kerabat.

Sebelum 'berulang alik' ke Makkah melakukan umrah, elok lebih dahulu bertanya atau menyelidik keperluan sanak saudara yang amat memerlukan bantuan.

Kos yang dibelanjakan untuk menunaikan umrah itu mungkin boleh diserahkan kepada sanak saudara yang memberi kesan besar membebaskan mereka dari kesusahan.

Mungkin ada sanak saudara kita tidak mendapat rawatan penyakit berbahaya kerana tidak mempunyai wang. Atau ada anak saudara kita tidak melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi kerana tidak mampu menyediakan sejumlah wang untuk mendaftar.

Elok diutamakan kepada membantu mereka itu berbanding melakukan ibadat sunat. Membantu saudara yang memerlukan bantuan adalah wajib jika kita berkemampuan.

No comments:

Post a Comment